Menjana pertumbuhan pelancongan bertanggungjawab melalui perkongsian awam-swasta





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman




 

BERAKAS, Khamis, 6 November. - Projek Membangun, Mengendali dan Memelihara Prasarana di Taman Rekreasi Hutan Berakas merupakan langkah penting dalam memperkukuh landskap ekopelancongan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta mempelbagaikan produk pelancongan sejajar dengan visi pertumbuhan ekonomi mampan.


Projek tersebut akan menawarkan pengalaman berasaskan pengembaraan dan alam semula jadi yang seimbang antara kemajuan dan pemuliharaan, memastikan pembangunan berlaku seiring dengan perlindungan alam sekitar demi generasi masa depan.


Ia selaras dengan keutamaan nasional di bawah Dasar Perhutanan NBD, Peta Jalan Industri Pelancongan NBD, serta visi Wawasan Brunei 2035.


Projek ini membuktikan peranan penting sektor swasta dalam membangunkan lagi industri pelancongan, di samping memperkukuh usaha pempelbagaian ekonomi negara.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat pada Majlis Penandatanganan Perjanjian di antara Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. bagi Projek Membangun, Mengendali dan Memelihara Prasarana di Taman Rekreasi Hutan Berakas bertempat di taman rekreasi berkenaan.


Menurut Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, sebagai projek pertama seumpamanya yang melibatkan resort bertaraf antarabangsa, Yang Berhormat berharap ia akan meningkatkan pengalaman pelancong, menarik lebih ramai pelawat tempatan dan antarabangsa, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu, serta menggalakkan pelancongan berasaskan pemuliharaan yang melindungi keindahan semula jadi NBD.


“Saya juga gembira bahawa Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan jenama hospitaliti antarabangsa terkemuka untuk menyokong pengurusan, pembangunan dan promosi taman ini. Perkongsian seperti ini amat penting bagi memastikan projek ini kekal berdaya maju dari segi komersial, mesra alam dan inklusif secara sosial - sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sektor pelancongan Brunei sebagai destinasi utama ekopelancongan, kesejahteraan dan penerokaan budaya," ujar Yang Berhormat lagi.


Sebagai projek perintis, Yang Berhormat berharap inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada pihak-pihak lain untuk turut sama membangunkan projek pelancongan bertaraf antarabangsa.


Yang Berhormat turut menzahirkan rasa yakin ia akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan yang dipacu sektor swasta pada masa akan datang.


“Dalam meneruskan langkah ke hadapan, marilah kita memastikan projek ini kekal berpandukan kepada prinsip kemampanan, penglibatan komuniti dan integriti alam sekitar, supaya pertumbuhan yang dicapai terus menyokong pemuliharaan, pendidikan, dan kesejahteraan masyarakat," jelasnya lagi.


Terdahulu itu, Yang Berhormat dalam ucapannya, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Perhutanan dan Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. atas kerjasama strategik ini - satu usaha sama yang menggabungkan inovasi, kemampanan dan penglibatan komuniti.


Pembangunan ini, jelas Yang Berhormat, mencerminkan keyakinan sektor swasta yang semakin meningkat dan menegaskan komitmen Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk memupuk perkongsian awam-swasta yang kukuh sebagai pemangkin pertumbuhan pelancongan yang bertanggungjawab.

 

Close